Entry: Mawar Untuk Umi Sunday, October 18, 2009




Bab Tiga Belas


"PUKUL BERAPA flight pagi esok?" Soal Datin Ameerah. Dia menoleh ke arah Fatin yang sedang meletakkan sebuah pinggan berisi sayur di tengah-tengah meja makan.

"Pukul sepuluh," jawab Fatin Nabihah sambil menarik kerusi besebelahan emaknya.

“Flight nak pergi mana?” Soal Faisal, mencelah perbualan yang baru bermula di meja makan. Sejak Fatin meninggalkan syarikat keluarga dan bekerja di syarikat Mawaddah Comunication International, Fasil semakin berminat dengan perjalanan hidup adiknya itu.

Kedatangan Dato’ Shafie ke meja makan menghentikan perbualan yang baru mula menjadi rancak. Mata masing-masing difokuskan kepada ketua rumah itu.

“Abah nak makan nasi ke, makan roti?” Soal Fatin Nabihah, menukar tajuk perbualan. Bukan kerana dia tak mahu Dato’ tahu, tetapi dia perihatin pada keadaan tahap kesihatan ayahnya. Sejak beberapa tahun kebelakannya ini dia terpaksa meneliti setiap suap makanan yang masuk ke dalam perutnya.

“Makan nasi. Malam ni nampak lauk sedap. Abah nak makan macam orang lain. Esok abah puasa. Isnin nanti pun puasa.” Dato’ Shafie senyum sambil berkata begitu.

“Setengah senduk cukup untuk rasa. Lepas tu makan roti,” saran isterinya Datin Ameerah. Fatin Nabihah memasukkan balik separuh senduk ke dalam bekas nasi. Selebihnya dibubuh ke dalam pinggan Dato’ Shafie.

Dato’ Shafie akur. Itu tanda isterinya sayangkan dia. Isterinya itu mahu dia sihat dan hidup lebih lama. Begitulah selalunya dia memujuk diri. Daripada ditarik kesemua nikmat dunianya biarlah dia menahan apa-apa kemahuan yang membahayakan. “Tadi Abah dengar ada orang nak ambil flight esok pagi. Siapa yang nak terbang ke mana tu?” Soalan ekspres, dua fakta sekali gus.

"Fatin, abah. Ni nak mintak kebenaran pada Abah."

"Dah beli tiket baru nak mintak kebenaran. Hmmm..... nak pergi mana dengan siapa?" Dato' Shafie mengulangai soalannya

"Pergi Langkawi dengan bos baru dia tulah abah. Sayang sangat dia tu dengan bos. Ikut saja ke mana dia pergi," celah Faisal, sambil melempar pandangan pada Dato' Shafie dan kemudian kepada Datin Ameerah.

"Kalau bos perempuan apa salahnya. Eloklah kalau baik dengan bos. Cepat belajar selok-belok berniaga," balas Dato' Shafie.

Kembang perasaan Fatin Nabihah dapat sokongan begitu. Dia melerek Faisal, sempat pula mengukir senyum sinis.

"Kalau baik sangat tu, abah kenalah selidik. Bukan abah tak tau macam-macam masalah yang berlaku sekarang ni."

"Abang Fai ni tak habis-habis ragui Cik Nur Atiqah. Fatin dah masuk tiga bulan kerja kat syarikat tu. Fatin kenal dia. Dia orang yang sangat baik dan pemurah. Lagipun abah, Fatin yang ajak dia pergi. Fatin kesian bila fikir dia duduk sorang-sorang kat rumah besar dia tu."

"Muda sangat lagi ke orangnya yang boleh buat kawan tu?"

"Kata Pengurus Personal, agak-agak baru duapuluh tujuh la umi. Muda sikit dari Abang Fai kita yang masih bujang ni la kut" Senyuman sinis dipamer di bibir.

"Dia tak duduk dengan keluarga ke?" soal Datin Ameerah, terus meneroka identiti orang yang sudah menjadi kawan akrab anak daranya yang hanya seorang itu.

"Emak dia tak ada. Ayah dia commute London, Jeddah, KL," jelas Fatin. Matanya memandang emak yang bertanya dan kemudian kepada ayah yang duduk di hujung meja makan. Dia juga menjeling sekilas pada Faisal.

"Buat apa ulang-alik Jeddah dan London tu? Isteri-isteri dia ada di situ ke?" Datin Ameerah bertanya penuh perasaan. Dia menjeling ke arah suaminya sekilas.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments