Entry: Mawar Untuk Umi Monday, October 05, 2009




Bab 11-3

"Dah ada orangnya....? Siapa.....?" Puan Qaisara meletakkan gelas ke atas meja, matanya memandang kedua-dua anaknya bersilih ganti, benar-benar mengharap jawapan yang menggembirakan dari anak-anaknya.

Kedua beradik berpandangan.

"Entahlah ma. Nak cakappun tak kena, tak nak cakap nanti mama tertanya-tanya."

"Habis tu?"

"Macam ni lah ma. Nanti mama senang-senang Hiz cerita. Abah dan mama doalah yang terbaik untuk Hiz."

"Abang Hiz, Hessa cerita kat mama sekejap lagi, boleh?"

Doktor Hizbul Muslim memandang adiknya beberapa ketika sebelum mengangguk. Tidak sukar untuknya bersetuju. Antara tiga orang adik beradik, Hessa Tasnim Atifa sangat rapat dengan abang sulungnya.

Encik Bokhari dan Puan Qaisara Husna bangun dan beredar dari ruang tamu ke bilik tidur tamu. Mereka perlu rehat. Perjalanan lima jam dari Alor Setar bukanlah suatu perjalanan yang dekat. Dalam pada merehatkan badan, otak Puan Qaisara sibuk berfikir. Siapa gadis pilihan Hiz? Kenapa susah sangat nak bagitau..... ada masalah ke?

"Hmmmh..."

"Apa yang mengeluh sangat tu? Tak baik tau mengeluh. Apa-apapun sabar aje lah."

"Entahlah bang. Susahnya, nak dapat menantu! Macam la tak ada perempuan kat Malaysia ni yang layak jadi isteri dia."

"Macam emak dia dulu juga. Bukan main susah lagi nak dapat. Kalau tak dapat dulu, entah-eantah ayah dia pun masih bujang sampai la ni."

"Alahai abang ni.... main-main pulak. Qais serius ni."

"Eh....Ingat abang tak serius ke?"

"Itu dulu..."

"Kalau dah kena penyakit macam tu, dulu sekarang sama aje. Dah lah bawa betenang. Orang bercinta tak boleh dipaksa."

"Sampai bila?.."

"Kan tadi Hessa tu nak cerita sekejap lagi. Sambil tu doalah banyak-banyak.  Kan doa ibu untuk anak tu mustajab?"

"Itu kalau betul ada orangnya..."

"Dahlah. Insya Allah, adalah tu," Encik Bokhari menutup cerita pasal anak sulungnya dengan nada positif, berharap apa yang dikatakannya itu benar.

Sambil itu, dia merebahkan diri di atas katil dan memejamkan matanya. Lebih baik melayani matanya yang celik sepanjang perjalanan daripada melayani rungutan isterinya terhadap Dr. Hizbul Muslim. Dia tahu rahsia hati anaknya itu akan terungkai sebelum dia pulang ke Alor Setar bersama-sama Hessa Tanim Atifa dalam dua hari lagi.


DAISY ANDERSON menutup kaset dan kemudian menutup naskhah Al-Quran yang telah dibacanya selama lebih kurang satu jam. Kaset itu telah dirakamkannya semasa belajar Al-Quran atau mendengar ceramah. Dia akan memasang kaset itu di rumah dan mengulang dengar beberapa kali sehingga lancar dan faham apa yang telah dipelajari bersama-sama guru di masjid atau Pusat Islam. Begitulah cara dia belajar agama.

"Kalau nak cepat dapat, kenalah usaha lebih." Dia ingat sangat nasihat salah seorang dari gurunya. Setiap kali dia teringat, dia akan senyum. Ah! Kenapa hati ini? Rindukah aku padanya? Ataukah aku hanya menggunakan dia untuk aku dapat berjumpa dengan anakku? Dia menggeleng surut. Tidak. Bukan.

Setelah membuka telekong dia duduk di meja solek. Selesai menyikat rambut dan meletakkan krim malam yang nipis, dia bangun untuk memasang lampu malap dan menutup lampu bilik. Dia berbaring di atas katil dan memejamkan mata. Ya Allah! Sudah genap dua tahun aku mendiami rumah ini seorang diri. Sudah dua tahun teragedi yang menimpa diriku dan keluargaku berlalu. Sudah dua tahun aku bertaubat dan memohon keampunan Mu. Daku bermohon pada Mu agar Engkau lembutkan hati anakku. Supaya dia memaafkan daku. Ya Allah! Engkau kasihanilah daku. Engkau redailah hidup ku....

Apabila Daisy Anderson terjaga pada jam empat pagi, tasbih yang dibilangnya ketika mula tidur, masih berada di tangannya. Selepas membaca doa bagun tidur, dia bersuci dan kemudian berdiri di atas sejadah. Dikesempatan yang masih ada, dia berusaha mendirikan malam bagi mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Dialah Tuhan yang telah membukakan jalan pulang selepas terbabas dalam mengharungi kehidupan dunia yang fana ini.


   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments