Bab Tiga (versi 6) - 2
"ABI, SYARIKAT kita ni agak kukuh kecuali tiga perkara," mula Nur Atiqah, matanya beralih dari isi fail ke wajah ayahnya.
"Minggu depan Tuan dah balik Jeddah. Sementara Tuan Pengerusi Kumpulan Mawadddah masih ada, elok kalau perkara ni diselesaikan."
"Walid dah jangka yang habibati akan memohon penambahan sumber tenaga manusia. Apabila menubuhkan sesebuah syarikat, kita hanya mengambil pekerja-pekerja yang menjalankan aktiviti harian dan rancangan jangka pendek. Terpulanglah kepada kebijaksanaan CEO untuk mengemudi syarikat ke arah yang lebih maju. Kalau cepat diselesaikan cepat jugalah syarikat beroperasi sepenuhnya."
"Cepatlah juga abi balik Jeddah, ya abi."
Sheikh Hamdani tersenyum nipis, geli hati dengan gurauan anaknya. Dia tahu anaknya itu cuba menghibur diri kerana dia akan ditinggalkan dalam seminggu lagi. Tetapi dalam bergurau itu, ada perkara penting yang hendak disampaikannya.
"Habibati! Habibati telah menunjukkan prestasi yang sangat menggembirakan walid. Walid yakin, dengan izin Allah, keterampilan habibati dalam mengurus sebuah syarikat akan terserlah di sini. Walid mahu habibati kuat dan tabah. Andainya umur walid tak panjang, sekurang-kurangnya walid tahu yang habibati sudah boleh berdikari."
Terkedu sebentar Nur Atiqah mendengar hujah ayahnya. Dalam beberapa hari kebelakangan ini dia hanya memikirkan tentang keadaannya apabila ayahnya kembali ke Jeddah nanti. Rupanya ayahnya memikirkan tentang pemergian yang lebih jauh dari itu, pergi yang tak akan kembali. Memang walid seorang yang berwawasan dunia dan akhirat. "Abi! Maafkan Tiqah kerana bergurau tadi. Tiqah kadang-kadang dihanyutkan oleh perasaan. Sekarang, bila Tiqah semakin memahami falsafah hidup abi, insya Allah, Tiqah akan menjadi lebih tabah menghadapi semua jenis cabaran dan dugaan."
"Syukur. Hmmm.... tentang nak ambil pekerja baru tu, bila habibati bercadang nak bincang dengan walid?"
"Kalau abi ada kelapangan, sekarang pun boleh."
"Bentanglah apa yang habibati nak cadangkan tu. Walid pun dah bersedia. Kalau perlu ditambah atau diubahsuai, walid akan berikan cadangan balas."
"Abi, selepas tiga minggu jadi CEO, Tiqah dapat buat penilaian tentang kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang ada dan yang sedang dihadapi oleh syarikat. Analisis SWOT ini Tiqah dapatkan selepas berbincang dengan semua kakitangan semenjak dua minggu yang lepas. Tu lah yang Tiqah nak bincangkan ni. "
"Bagus. Teruskan."
"Abi, Syarikat perlukan seorang ketua atau pengurus bahagian keselamatan komputer yang cekap, beberapa orang software developer dan pengaturcara. Tiqah juga nak seorang yang bertanggaung jawab dalam pengurusan ilmu, knowledge management dan translational research. Kalau boleh Tiqah nak kembangkan skop syarikat untuk melibatkan diri ke dalam pembagunan platform bioinformatiks."
"Bukan ke dah ada seorang eksekutif keselamatan komputer dalam syarikat ni?"
"Puan Wardah tu agak kurang cekap, sedangkan ketahanan syarikat bergantung pada keselamatan komputer dan rangkaian."
Setelah berbincang selama satu jam, akhirnya Syeikh Hamdani bersetuju dengan cadangan ankanya itu. Pada mensyuarat bulanan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat semuanya bersetuju dengan cadangan pengambilan pegawai baru oleh CEO. Selesai menyuarat, Nur Atiqah mengarahkan pengurus HRM, Encik Muhammad Salleh, supaya segera membuat iklan untuk mengisi jawatan-jawatan yang diperlukan.
SEBULAN KEMUDIAN, satu sesi temuduga telah dijalankan. Yang menjadi fokus utama syarikat ialah mendapatkan pegawai keselamatan komputer. Daripada lebih lima ribu yang memohon, dua puluh orang telah disenarai pendek dan menjalani temuduga itu. Akhirnya, tiga orang telah dipilih untuk menjalani ujian terakhir. Puan Wardah yang sedang bertugas di bahagaian itu tidak termasuk dalam senarai tiga orang calon yang telah terpilih. Setelah menjalani sesi ujian praktikel ala pertandingan "Apparenice" selama satu hari suntuk, seorang pakar keselamatan komputer muncul jadi 'juara'. Seminggu selepas sesi temuduga berlansung, pemenang telah ditawarkan jawatan yang telah diiklankan.
"Tahniah," ujar Nur Atiqah, dia menghulur tangan. Senyuman manis diberikan. Namun pada raut wajahnya tetap ada ketegasan.
"Teirma kasih Cik Nur Atiqah. Saya amat bersyukur dapat tawaran untuk bekerja dalam syarikat yang ultra modern ini."
"Cik Fatin! Ana bukan setakat menawarkan jawatan eksekutif keselamatan komputer kepada Cik Fatin, tetapi sebagai Pengurus Keselamatan Komputer dan Rangkaian."
"Saya sangat gembira atas kepercayaan Cik Nur Atiqah pada kebolehan saya. Saya akan melakukan kerja saya sebaik yang mungkin."
"Kerja yang terbaik, Cik Fatin, bukan sebaik yang mungkin."
"Maaf Cik Nur Atiqah. Sebenarnya, maksud saya ialah seperti yang Cik Nur Atiqah sebut tu..... yang terbaik."
"Baiklah. Tugas pertama, ana mahu Cik Fatin mengkaji sistem keselamatan rangkaian syarikat dan tutup jalan-jalan yang mempunyai potensi dicerobohi oleh pencuri siber."
"Cik Nur Atiqah boleh beri saya masa dua minggu untuk mengkaji dan dua minggu untuk mencadangkan penambahbaikan."
"Satu bulan. Hmmm..." Nur Atiqah berhenti sejenak. Dia memandang tepat pada wajah Fatin Nabihah. Kemudian dia membuat keputusan, "baiklah. Laporan tu kena komprehensif. Semua upgrading yang dibuat harus dapat bertahan lima hingga sepuluh tahun. Ana tak mahu Fatin buat kerja yang tak lengkap, ala kadar. Nanti kena buat kerja yang sama tiap-tiap tahun. Kerja macam tu boleh mengganggu sistem dan kerja yang sedang berjalan."
"Saya faham. Untuk pengetahuan Cik Nur Atiqah, itulah yang saya akan lakukan. Semasa saya bekerja di syarikat sebelum ini pun saya lakukan seperti itu."
"Bagus. Lakukan kerja mulai hari ini."
"Baik Cik Nur Atiqah."
"Ana nak ingatkan pada Cik Fatin, sebagai Pengurus Keselamatan Komputer dan Rangkaian, Cik Fatin mempunyai tugas yang berat dalam menjaga keselamatan syarikat. Jadi, Cik Fatin perlu berwaspada setiap masa. Jika terdapat sebarang syak tentang adanya pencerobohan sistem jaringan syarikat, Cik Fatin mesti laporkan kepada ana dengan segera. Ana takut, harta intelek kita akan berada dalam keadaan bahaya."
"Baik Cik Nur Atiqah. Insya Allah saya jalankan tugas seperti yang Cik Nur Atiqah arahkan."
"Cik Fatin!" panggil Nur Atiqah sedang Fatin Nabihah sudah mula bangun untuk meninggalkan pejabat CEO.
"Saya, Cik Nur Atiqah."
"Ingat. Di Syarikat ini Cik Fatin answerable hanya kepada ana seorang sahaja, faham?"
"Ya, saya faham, Cik Nur Atiqah. Saya pergi dulu."
"Baiklah." Fatin Nabihah membuka pintu dan keluar dari bilik CEO dengan perasaan gembira dan puas hati.
Di luar bilik CEO, Fatin Nabihah ditegur oleh pembantu peribadi CEO, iaitu Puan Salmi. Dalam perbualan mereka yang singkat, Fatin Nabihah dapat tahu bahawa Nur Atiqah adalah tegas tetapi baik hati. Kedatangan Pengurus HRM, Encik Muhammad Salleh yang membawa Fatin Nabihah ke bilik Pengurus Keselamatan Komputer dan Rangkaian, memendekkan perbualan mereka.
Posted at 12:16 am by ismad