Bab Tiga (Versi 6)
"ANA NAK Encik Muhammad Salleh buatkkan jadual pertemuan ana dengan setiap pekerja di Syarikat ini." Nur Atiqah memandang tepat pada pengurus bahagian sumber manusia, HRM. Pandangan yang difahami oleh pengurus HRM itu tentang kecekalan dan ketegasan CEO muda itu dalam misinya untuk meningkatkan imej syarikat dan semangat para pekerja.
"Semua pekerja, Cik Nur Atiqah?"
"Ya. Semua. Dari pengarah kepada pembantu pejabat."
Encik Salleh mengangguk. "Setiap hari dua orang, mulai esok, sehingga semua orang Cik Nur Atiqah jumpa. Boleh saya aturkan begitu, Cik Nur Atiqah?"
"Padankan dengan jadual ana, seorang ke, dua orang ke, tak mengapa. Tiga pun boleh. Bincang dengan PA ana di luar tu. Mulakan minggu depan. Minggu ni saya nak melawat setiap bahagian syarikat ini. Itupun Encik Muhammad tolang aturkan.".
"Saya akan aturkan jadual lawatan, kemudian saya bincang dengan Cik Nur Atiqah."
"Lagi satu, ana nak, mulai minggu hadapan, perhimpunan mingguan ialah pada pukul 8.00 pagi hari Isnin. Encik Muhammad Salleh tolong buatkan surat pekeliling."
"Saya buat sekejap lagi. Sebelum saya edarkan, saya tunjuk dulu pada Cik Nur Atiqah."
Nur Atiqah membuka sebuah fail yang dimintanya dari Pengurus HRM itu dua hari yang lalu.
"Encik Muhammad!"
"Saya, Cik Nur Atiqah."
"Job description yang ada dalam fail ni ana mahu Encik Muhammad perbaiki. Ada perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang tak jelas. Secara keseluruhannya tak lengkap. Job description untuk setiap pekerja ni kena jelas, barulah syarikat dapat tentukan dia punya KPI, key performace index. Dari situ kita boleh buatkan reward system yang lebih adil dan telus. Jika reward system adil dan telus, para pekerja akan mengecap kepuasan bekerja. Mereka yang mendapat kepuasan bekerja akan berkerja bersungguh-sungguh dengan penuh tanggungjawab. Natijahnya, insya Allah, produktiviti syarikat akan meningkat."
Terpesona Pengurus HRM mendengarkan penjelasan CEO itu. Dalam tempoh dia bekerja di beberapa syarikat sebelum ini, inilah kali pertama, CEO ataupun pengurus besar sesebuah syarikat yang mengambil berat tentang isu-isu yang sedang dibincangkan itu. "Saya sangat setuju dengan rancangan Cik Nur Atiqah. Walaupun bahagian HRM akan jadi lebih sibuk dengan kerja-kerja mengutip data dan membuat penilaian, tetapi ia menjadikan kerja itu lebih mudah. Semuanya adalah berdasarkan dokumen yang pekerja sendiri sedia maklum."
"Jangan lupa juga sediakan dokumen perakuan kerahasiaan syarikat. Minta setiap pekerja tandatangan yang mereka faham tugas dan tanggung jawab masing-masing dalam menjaga harta intelek syarikat."
"Saya ada sediakan derafnya, tapi saya tak berani nak cadangkan, takut orang marah. Tapi kalau CEO yang suruh mudah kerja saya. Saya akan kemaskinikan sebelum saya tunjuk pada Cik Nur Atiqah. Lepas Cik Nur Atiqah semak saya akan edarkan pada setiap pekerja."
"Bagus. Hmmm... Encik Muhammad! Apa misi syrikat kita?"
"Tak pastilah Cik."
Nur Atiqah menunjukkan sehelai kertas A4 yang ada tertulis di atasnya misi syarikat Kumpulan Mawaddah. "Ana nak digantungkan misi Syarikat ini digantung di tempat-tempat strategik. Biar semua pekerja tahu misi syarikat ialah untuk membangunkan ekonomi ummah."
"Saya akan minta anak buah saya buatkan poster yang cantik supaya yang digantung tu nanti menarik."
"Itu saja Encik Muhammad, melainkan kalau ada perkara yang Encik Muhammad nak bincangkan."
"Belum ada apa-apa lagi, Cik Nur Atiqah. Nanti kalau ada sesuatu, saya akan bawa berbincang dengan Cik."
"Okey. Terima kasih." Nur Atiqah dan Encik Muhammad bangun dari sofa serentak. Encik Muhammad beredar keluar, Nur Atiqah beredar ke meja CEO.