BAB 13-2
Dato' Shafie membalas pandangan isterinya, segera mencelah, "eeeh... ke situ pulak perginya. Abang dah pergi ke pejabat dia di London. Dia menduda sejak Nur Atiqah masih menyusu lagi. Tak ingat ke, dalam dua tahun dulu abang dah pergi jumpa Sheikh Hamdani tu di London. Rancang nak bincang tentang usahasama tubuhkan syarikat tulah." Bersungguh-sungguh dia mempertahankan kesetiaan sang lelaki pada cinta.
Berdegup jangtung Datin Ameerah, bagai nak putus salur darah aortanya. Gelas air diletak dibibir. Perubahan riak pada wajah disembunyikan sebolehnya, hati terus berdoa. Oh Tuhan! Tenangkanlah hatiku yang tiba-tiba berdegup ini.
"Ia ke, abah? Kenapa abah tak jadi ambil share dalam syarikat tu? Kalau ada share boleh jugak Abang Fai kerja satu pejabat dengan Cik Nur Atiqah. Boleh abang Fai berkenalan dengan lebih dekat macam Fatin ni. Dah lah agamanya bagus, tingkah lakupun bagus, rupapun bagus. Cantik orangnya abah, umi." Fatin menjeling Faisal sambil tersenyum sinis.
Dato' Shafie memandang ke arah Fatin Nabihah yang sedang bercakap dan kemudian kepada Datin Ameerah dan akhir sekali pada Faisal. "Kalau Faisal ada idea baru, boleh buat usahasama bangunkan produk IT baru. Ushasama dengan syarikat dia orang tu bagus. Sebab, syarikat tu dah ada tract record pasarkan produk di Britain dan Amerika Syarikat. Dengan sendirinya syarikat kita boleh tumpang tembusi pasaran-pasaran di kedua-dua negara tu."
"Betul tu Abang Fai. Syarikat tu memang international. Dalam dua minggu lagi Fatin pergi ke Glasgow atas urusan bisnes syarikat."
"Bisnes apa syarikat tu nak buat di Glasgow?" Soal Faisal, bersungguh-sungguh nak tahu.
"Itu Fatin tak boleh cerita. Fatin diamanahkan menyimpan maklumat cadangan projek tu sebagai rahsia syarikat," jelas Fatin Nabihah dengan tegas.
"Tengok abah! Anak abah lebih setia kepada pesaing daripada syarikat keluarga sendiri," komplein Faisal.
"Itu tanggungjawab yang mesti ada pada setiap pekerja. Kalau kita buat tak betul dalam syarikat kita bekerja, nanti orang lain pun boleh buat macam tu dalam syarikat kita," nasihat Datin Ameerah, sekali gus menyokong pendapat Fatin Nabihah.
Faisal menjeling Fatin Nabihah. Adiknya menjuih bibir.
"Abah kamu dah berikan pendapat yang baik. Saranan abah kamu tu ada benarnya, fikir-fikirkanlah baik-baik. Takkanlah bahagian inovasi syarikat tak ada idea baru yang novel yang nak dikembangkan? Untung-untung nanti dapat berkerjasama dengan Nur Atiqah tu," sambung Datin Ameerah, sambil tersenyum kerana berjaya mengusik anak teruna yang masih belum bertemu jodohnya.
"Fatin kan nak bertunang dengan orang Kedah tu. Berilah dia peluang jadi orang yang pertama kawin dalam keluarga ni," tingkah Faisal dengan hasrat menduga.
"Alaaa.... Abang Fai tu kat mulut aje kata macam itu. Dalam hati dia umi pun dah boleh baca..." sindir Fatin, mengerling abangnya sambil tersenyum nipis.
Dato' Shafie sudah selesai makan, tetapi masing belum berganjak. Dia mahu menunggu yang lainnya selesai. "Macam mana prestasi Syarikat kita sekarang ni?" Dia menukar tajuk perbincangan, muka dan pertanyaan dihalakan kepada Faisal.
"Dalam dua bulan kebelakangan ni, nampak sakit sikitlah, abah. Sale menurun dan kita kalah tiga tender. Cuma satu aje yang sangkut."
"Itu kena beri perhatian. Cari sebab-sebabnya. Cari kelemahan dan kekuatan syarikat. Faisal kena kerja kuat. Abah dah tak boleh aktif sangat lagi. Nanti kesihatan abah tambah teruk."
"Kita kalah dua tender pada Syarikat Mawaddah Communication International tulah." Dia memandang pada Dato' Shafie dan kemudian ke arah Fatin Nabihah.
"Abah nak Faisal kaji kelemahan produk, servis dan harga yang kita tawarkan berbanding dengan syarikat yang menang tu. Dari situ kita boleh baiki prestasi kita."
"Ahli Lembaga Syarikat suruh tambah "minyak pelincir" aje, abah. Faisal tak setuju."
"Faisal! Kalau kita guna minyak pelincir nak menang tender, apa yang kita makan tadi tu semunya haram, tau!" Macam membentak suara Datin mendengar saranan itu.
"Tau abah, umi. Sebab itu tak sokong. Cuma Syarikat baru ni dah ambil rezeki kita."
"Abang Fai, rezeki Allah yang bagi. Tak ada orang yang ambil dan tak ada orang yang bagi."
"Itulah abah, umi. Lepas adik Fai ni masuk syarikat tu, dia dah reject terus syarikat keluarga sendiri."
"Fatin makan gaji dengan syarikat tu. Kalau Fatin belot pada syarikat bermakna gaji Fatin tu duit haram, abah, umi. Lagi pun Fatin dah bagitau abang Fai, pasal tolong-menolong untuk membangunkan umat Islam ni cepat aje dia hulur tangan,Tapi Abang Fai buat dek aje. Lagi-lagi sangsi pada dia. Tadi pun abah dan umi dah beri cadangan. Buat temujanji, bincang dengan dia. Apa yang susah sangat?"
"Abang tak mau jumpa dia. Biar dia jumpa abang."
"Elleeh....abang yang keras hati! Ego tak kena tempat!" Fatin Nabihah mencebik, mual dengan kelakuan abang yang egoistik itu.
"Faisal, ni umi nak cakap. Kita dilarang sangka buruk pada seseorang sebelum kita mengenali keburukannya. Tambah-tambah lagi kalau orang itu seorang muslim atau muslimah. Ni dalam Al-Quran, bukan main cakap aje. Umi cakap ni bukan pada Faisal seorang, untuk semua, termasuk diri umi sendiri."
Suasana lengang apabila ustazah memberi syarahan. Mungkin masing-masing sedang memikirkan sama ada masing-masing ada buat macam yang ditegah itu.
"Macam ni lah. Apa kata, kita ajak Nur Atiqah tu makan di rumah kita. Nak juga tengok bos yang berkawan rapat dengan anak umi tu. Boleh la umi berkenalan."
"Boleh aje umi. Kalau umi yang cakap dia tu elok, tentu Abang Fai percaya. Mana tau, kalau-kalau Fatin dapat kakak baru!" Dia menjeling kepada Faisal yang seolah-olah tidak mendengar ayat terakhir itu.
"Eloklah tu Faisal. Ikut aje cakap umi dan adik kau ni. Kau pun bukan muda sangat lagi. Lagi lima bulan dah duapuluh lapan tahun."
"Betul tu Abang Fai. Kan tadi umi dah imply yang umi dah kepingain nak timang cucu."
"Yang kau tu Fatin, buah hati kat Kedah tu macam mana? Semenjak berkawan dengan bos tu, abang nampak dah kurang sangat nak bercakap tentang dia. Hmmm....."
"Fatin tak ada maslah. Dia kata lagi dua bulan emak ayah dia akan datang jumpa umi dan abah."
"Bila dia orang datang nanti, umi suruh dia orang kawin capat-cepat. Cepat sikit umi timang cucu." Balas Faisal, ketawa dengan usikan balasnya itu.
"Tak jadi hal. Yang jadi hal, abang tu.... bila lagi nak tunjuk calonnya pada umi?"
"Tak apa. Nanti kalau umi kata bos kau tu okey, abang setuju aje." Mengaku setuju, tetapi bunyinya sinis.
Posted at 07:12 am by ismad