BAB 11-2
"Ya. Ana dan Cik Fatin."
"Bila tu Cik Nur Atiqah?"
"Cadangan awal, terus dari London. Tarikh sebenar ana akan tentukan kemudian. Tapi untuk pemergian yang agak lama tu, Cik Fatin perlu siapkan kerja yang sedang dibuat dan buat arahan untuk menyenggara sistem keselamatan komputer dan rangkaian kepada orang yang akan menanggung kerja."
"Terima kasih Cik Nur Atiqah. Saya akan mulakan hari ini." Fatin Nabihah keluar dari bilik CEO penuh kegembiraan. Dia tidak menyangka yang dia begitu bernasib baik dapat kepercayaan daripada CEO dan juga Pengerusi Kumpulan Mawaddah. Umi dan abah pasti gembira dengan berita ini nanti. Abang Fai pun.... entahlah Abang Fai ni, mengada lebih!.
Dalam Perjalanan balik ke Bahagian Keselamatan Kumputer dan Rangkaian, Fatin Nabihah terserempak dengan Doktor Aimi Najwa, Waheda dan Nurul Syuhada.
"Ni pun dia. Telefon tak angkat. Engkau pergi mana?" tegur Doktor Aimi Najwa.
"Jumpa bos."
"Jom minum kat pantri," ajak Waheda.
"Sibuk sikit. Ada kerja bos suruh buat. Hari Isnin kena bentang kat mesyuarat Lembaga. Kau orang pergilah dulu."
"Tak ada kau, tak seronoklah minum," tambah Nurul Syuhada.
"Don't worry. Nanti kita makan tengah hari sama-sama."
"Okey. Nak apa-apa ke? Saya boleh bawa balik."
"Tak payah. Thanks."
Hari Khamis dan Jumaat minggu itu Fatin Nabihah juga tidak dapat minum bersama rakan-rakan dia biasa minum di pantri. Bukan itu sahaja, makan tengah hari pun terpaksa
bawa bekal dari rumah. Pukul tiga petang hari Jumaat, barulah dia dapat berbicang dengan Nur Atiqah buat kali terakhir sebelum dibentangkan pada hari Isnin.
ENCIK BOKHARI DAN PUAN QAISARA HUSNA melabuhkan diri di atas sofa. Doktor Hizbul Muslim memasukkan beg pakaian kedua orang ibu bapanya ke dalam bilik tidur tamu. Hessa Tasnim Atifa datang dari dapur membawa tabung air minum bertapis bersama-sama gelas-gelas kosong. Dia duduk sambil mengisi air ke dalam gelas.
"Ma! Petang karang mama masak ikan patin asam pedas, ya ma."
"Abah dan mama, baru sampai. Tak habis pun penat lagi dah nak suruh masak," komen Encik Bokhari, tersenyum melihat gelagat anak bongsunya yang mereka rindui tatkala berjauhan.
"Bukan Hessa yang nak, abah. Lusa Hessa dah nak balik cuti panjang, kalau nak hari-hari pun boleh makan ikan patin masak asam pedas tu. Abang Hiz tu yang suruh Hessa cakap."
"Ikan patinnya kami dah belipun semalam, ma," sampuk Doktor Hizbul yang baru kembali dari bilik tidur tamu.
"Kalau dah ada penyeri rumah, taklah tunggu mama datang baru dapat hidangan ikan patin asam pedas, tu," usik Puan Qaisara, tangannya mencapai gelas yang berisi air minuman. Bibirnya menghirup air, matanya pula mengintai reaksi anak sulungnya yang baru duduk di hadapan.
"Takkan sama dengan masakan mama. Masakan mama istimewa."
"Boleh aje belajar, bukan susah macam buat PhD tu."
"Hmmm..... Calon yang mana pulak mama nak rekomen kat Hiz ni, ma?"
"Semua yang mama rekomen tak nak. Tak kuasalah mama nak risik-risik lagi anak kawan-kawan mama. Dah tanya, lepas tu tak nak. Segan mama kat kawan-kawan mama tu."
"Mana abang Hiz nak, ma. Dia dah ada orang. Kalau mama nak tau......"
"Hessa.......," potong Doktor Hizbul Muslim.
Posted at 07:05 am by ismad