Tajuk adalah penting untuk ditetapkan, tetapi ia tidak semestinya kekal apabila selesai menulis. Ditetapkan tetapi tidak kekal? Anda tak perlu Keliru dengan pernyataan ini. Ia bukan satu paradoks, tetapi sudah menjadi satu norm (kebiasaan) dalam karang-mengarang. Kita akan lihat apa yang saya maksudkan di akhir perbincangan ini nanti. Untuk masa sekarang kita hanya mahu menetapkan tajuk dahulu.
Kenapa kita mahu menetapkan tajuk sebelum kita mengarang? Jawapannya mudah; tajuk adalah seperti jantung di dalam tubuh badan. Jantung merupakan pusat bagi perjalanan darah ke seluruh bahagian tubuh. Perjalanan darah adalah penting untuk membawa nutrien (makanan) dan oksigen ke setiap sel di seluruh tubuh. Sel adalah unit asas di dalam badan. Satu kelompok sel yang sama bentuk dan fungsi membentuk satu tisu dan sekeloppok tisu-tisu yang berkerjasama antara satu sama lain pula membetuk organ. Organ-organ pula akan membentuk suatu tubuh yang lengkap. Ini bermakna setiap sel, setiap tisu, setiap organ adalah dihubungkan kepada jantung. Andainya satu perkataan boleh dianggap sebagai satu sel, satu ayat dianggap sebagai satu tisu dan satu perenggan atau bahagian (atau sub-tajuk) sebagai satu organ, dan seluruh karangan melambangkan seluruh tubuh badan, maka kita lihat setiap daripada elemen dalam karangan itu mestilah ada hubungan dengan tajuk.
Apa maknanya pernyataan di atas bagi seseorang yang sedang hendak memulakan kerja mengarang? Jawapanya ialah, seseorang pengarang wajib memastikan bahawa setiap butir maklumat yang hendak dimuatkan ke dalam sesebuah karangan itu mempunyai kaitan dengan tajuk. Kukuh atau longgar kaitan itu, tidak penting , asalkan sahaja ada kaitan.
Jika demikian, kita harus memilih tajuk yang maklumat tentangnya boleh dicari dan difahami. Tidak ada gunanya memilih tajuk yang maklumatnya banyak tetapi kita tak dapat memahami maklumat yang terkandung di dalamnya. Hanya dari sumber rujukan yang boleh difahami sahaja, maklumat-maklumat yang berkaitan dnegan tajuk dapat diekstrak dan dibuat catatan. Maka setelah kita mengekstrak dan mngumpulkan maklumat barulah kita dapat menyusun maklumat itu menguikut kepentingannya dengan tajuk.
Bagaimana hendak menyusun maklumat berdasarkan kepentingan dengan tajuk? Satu soalan yang penting untuk dijawab. Untuk memudahkan pemahaman mari kita buat empat bulatan satu di dalam yang lain, iaitu yang terkecil diameternya, paling dalam dan terbesar pula paling luar. Di dalam bulatan terkecil itu tuliskan tajuk karangan. Sementara itu, kita pilih beberapa maklumat yang terpenting dan tuliskan (secara ringkas) pada kawasan antara bulatan yang terkecil dan yang kedua kecil. Selepas itu pilih pula maklumat yang kurang sedikit kepentingannya dan letakkan pada ruang antara bulatan ketiga dan kedua. Kaitkan maklumat yang berkaitan pada bulatan dua dan ketiga ini dengan meletakkan anak panah. Ini bermakna, maklumat di dalam bulatan dua ialah sub-tajuk utama dan maklumat dalam bulatan tiga adalah pengembangan kepada sub-tajuk utama itu. Demikian juga dengan bulatan keempat; ia adalah pengembangan atau contoh-contoh khusus kepada maklumat di dalam bulatan ketiga.
Dengan mengamalkan cara ini kita akan dapat membentuk gagasan yang jitu untuk membina kerangka karangan. Sebagai kesimpulan, tajuk asal yang kita dapat, akan digunakan untuk membina kerangkan karangan. Bagaimana pula jika maklumat dan tajuk tidak begitu serasi, sedangkan kita hendak memasukkan semua maklumat yang telah kita susun di dalam bulatan yang konsentrik itu?
Jawapannya ialah kita ubahsuai tajuk kepada yang yang lebih menggambarkan gagasan dan kandungan karangan. Jadi pernyataan yang seakan paradoks tentang tajuk karangan itu sudah terjawab.
Insya-Allah boleh cuba.
Posted at 06:58 am by ismad