Menulis: Bahan atau Cerita
Menulis buku bukan-fiksyen atau menulis novel fiksyen hanya melibatkan sebilangan kecil penulis. Masih ramai orang-orang yang mempunyai keperluan untuk menulis, dan menulis dalam bidang dan bentuk penulisan yang lain. Tetapi, ini tidak bermakna orang lain tidak perlu tahu tentang selok-belok menulis. Sebabnya, setiap orang perlu menghasilkan bahan tulisan dalam melaksanakan tugasnya. Contohnya, pensyarah perlu menghasilkan kertas kerja dalam bidang pngkhususannya. Murid-murid sekolah perlu menghasilkan karangan sebagai keperluan sukatan pelajaran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.Pelajar-pelajar kolej dan universiti diwajibkan untuk menyediakan tugasan (assignment) sebagai satu komponen penilaian kursus-kursus yang mereka ambil. Pegawai-pegawai di jabatan kerajaan atau eksekutif dalam syarikat swasta juga diberi tugas untuk menulis laporan terhadap tugasan yang telah selesai. Pendek kata, setiap individu dilatih dan diberi tugasan menulis sejak di bangku sekolah sehinggalah sampai ke alam pekerjaan.
Dalam artikel ringkas ini, penulisan jenis faktual (nukan fiksyen) inilah yang saya akan tekankan. Bukan menulis cerpen atau novel fiksyen!
Baik. Sebelum melanjutkan perbincangan ini, saya mahu bertanya pada anda satu soalan: "Mengapa bahan tulisan juga disebut sebagai cerita?"
Okey, tanpa menunggu jawapan anda, saya jelaskan serba ringkas.
Bahan tulisan menjadi kaku jika ditulis secara deskriptif semata-mata. Boring. Tidak menarik. Oleh itu, penulis haruslah memikirkan bagaimana bahan yang hendak ditulis itu menjadi menarik. Jika kita hendak menulis tentang selsema babi misalnya, tentukan tulisan itu menarik perhatian pembaca. Yang lebih penting ialah mengekalkan pembacaannya sehingga ke noktah terakhir.
Jika kita menulis sebuah nararatif (menceritakan sebuah cerita yang benar), cerpen ataupun novel, kita sebenarnya menyampaikan sebuah cerita. Tetapi jika kita hendak menyampaikan sesuatu bahan faktual kita akan menceritakan tentang bahan tersebut dengan ekspresi kita sendiri. Jadi, dari sini, kita dapati bahawa bahan dan cerita sebenarnya berkait rapat. Apa-apa sahaja yang hendak kita tulis itu boleh ditakrifkan sebagai bahan atau cerita, bergantung dari sudut mana yang kita mahu lihat. Maksudnya kita tidak perlu membahaskan tentang istilah bahan atau cerita, tetapi membahaskan ekspresi yang kita cipta untuk menyampaikan bahan atau cerita tersebut.
Frasa "ekspresi yang kita cipta untuk menyampaikan bahan atau cerita tersebut" boleh diringkaskan dalam satu perkataan, iaitu mengarang. Kita mengarang supaya apa yang kita tulis itu menarik, jelas, sedap dibaca, mudah difahami dan memberi kesan kepada pembaca. Secara ringkas, karangan kita itu merupakan sebuah tulisan yang berkesan.
Ingat! Apa-apapun yang kita tulis, ianya mestilah berkesan. Soalnya, bagaimana caranya untuk melahirkan sebuah tulisan yang berkesan?