Bab 9-3
Sheikh Hamdani bangun dari sofa. Matanya mengekori Fatin Nabihah berjalan keluar bilik. Kemudian dia duduk di bangku di hadapan meja CEO.
"Baguskan Fatin tu, habibati? Sesuai jadi Pengurus Bahagian Keselamatan Komputer dan Rangkaian. Ada wawasan. Belum lagi kita minta dia fikirkan cara nak kembangkan bahagian keselamatan tu, dia dah ada kertas cadangan."
"Tiqah pun fikir macam tu juga, abi. Tiqah rasa dia ada potensi nak jadi seorang pengurus syarikat yang berjaya. Tiqah tahu sebab Tiqah pun dah mula rapat dengan dia."
"Kalau kita nak orang yang ada potensi macam ni barjaya, kita kena bagi dia bimbingan. Kita kena selalu bagi dia dorongnan."
"Tiqah dah buat macam abi cakap tu, sikit-sikt. Hmmm... Abi, apa pendapat abi kalau dia nak panggil Tiqah ni kakak. Bila Tiqah tanya kenapa, dia kata kat sini panggil macam tu perkara biasa. Nak hormat orang yang lebih tua."
"Apa habibati jawab?"
"Tiqah beritahu dia, di rumah atau di tempat lain, dia boleh panggil Tiqah macam tu. Tetapi di pejabat semua perhubungan mesti formal."
“Boleh ke habibati nak tukar-tukar role macam tu? Tak ke nanti rasa kekok?"
"Tiqah cuba dulu. Tengok macam mana.”
"Macam manapun habibati buat, habibati kena tahu dalam syarikat ada corporate culture yang tak bertulis. Kalau terlalu formal, ada baik ada buruknya. Kalau terlalu friendly, pun ada baik ada buruknya juga. Jadi, sebagai orang yang mengendali keseluruhan urusan syarikat, habibati, kena pandai imbangkan cara bergaul.”
“Terima kasih, abi.”
Perbualan berhenti di situ. Masing-masing sudah berfikir tentang kerja yang sedang menunggu.Sheikh Hamdani bangun dan beredar ke pintu bilik. Nur Atiqah mengiringinya hingga ke hadapan bilik Pengerusi Kumpulan Mawaddah.
"Tengahari nanti habibati temankan walid makan, boleh?" Sheikh Hamdani memberikan senyuman sambil tangannya menguak daun pintu.
"Baik abi." Nur Atiqah membalas senyuman ayahnya, lalu beredar meninggalkan hadapan bilik Pengerusi Kumpulan Mawaddah itu. Di dalam bilik, dia meneruskan kerjanya yang telah tergendala. Dalam pada itu dia teringat akan ajakan ayahnya tadi. Dia tidak sabar menunggu waktu tengahari. Sejak hampir dua bulan yang lalu itulah kali pertama dia akan makan tengahari bersama ayah, satu-satunya tempat dia bergantung kasih.
Makan tengahari di restoran mamak di Precint 9, Putrajaya berlalu dengan cepat. Bukan makanannya tidak sedap, tetapi tengahari itu, pelanggan terlalu ramai. Hiruk piruk tidak menjanjikan suasana yang sesuai untuk bebicara. Suara terpaksa ditingkatkan volume. Bukan cara mereka begitu untuk berbicara. Tidak selari dengan peribadi gadis yang lemah lembut seperti Nur Atiqah. Lagipun kalau nak bincang kuat-kuat tentang bisnes, nanti orang sebelah meja sangka yang mereka itu sombong mengada-ngada. Kalau bincang tentang peribadi, nanti mereka pasang telinga. Itulah sebabnya makan tengahari itu tidak mengambil masa yang lama.
Hampa. Monyok. Dua bulan dia menunggu saat itu.
"Habibati, tengahari esok walid ganti. Kita pergi restoran yang habibati suka tu."
Nur Atiqah senyum, setuju. Janji dan pujukan ayahnya membaut dia ceria kembali.
Dari restoran mereka terus ke surau di bangunan syarikat. Usai solat mereka bersama-sama berjalan ke bilik masing-masing. Sheikh Hamdani yang berjalan terus melintasi bilik CEO. Tangan Nur Atiqah menolak daun pintu, sedang matannya mengiringi ayahnya menghampiri bilik Pengerusi Kumpulan Mawaddah.
Di hadapan pintu, Shekh Hamdani berjabat tangan dengan seorang anak muda yang sedang membawa fail di tangannya. Seorang perempuan yang agak sebaya dengan ayahnya bersama-sama memasuk bilik Pengerusi Kumpulan Mawaddah.
Mereka bukan pekerja syarikat sebab tak pernah tengok. Cara mereka berurusan pun, macam abi sudah kenal mereka. Tapi abi tak pernah sebutpun tentang mereka. Siapa mereka? Apa urusan mereka dengan abi? Apa urusan mereka dengan Pegerusi Kumpulan Mawaddah?
Nur Atiqah melangkah masuk ke dalam bilik CEO dengan persoalan yang berlegar dalam fikirannya. Dia duduk pada kerusi CEO. Setelah berfikir sebentar, dia membuat keputusan; kalau ayahnya mahukan dia terlibat, sudah lama ayahnya memberitahu tentang orang itu. Seorang ayah yang penyayang sentiasa bertimbang rasa terhadapa anak-anaknya. Sentiasa inginkan yang terbaik untuk anak yang disayanginya. Tiada kekhuatiran tentang itu. Dengan nama Tuhan, dia membuka sebuah fail dan meneruskan kerjanya.
Posted at 07:22 am by ismad