Bab Lapan
(Catatan penulis: akhir bulan ke empat)
BULAN MAC sudah sampai ke penghujung. Ini bermakna musim sejuk sudah pergi dan musim bunga sudah bermula. Di sekeliling kawasan hotel, daffodil, tulip dan bunga-bungaan lain yang berwarna warni sudah mula berkembang. Sheikh Hamdani sengaja turun lebih awal daripada masa yang dijanjikan agar dia dapat menikmati keindahan pemandangan musim bunga, terutama sekali bunga tulip. Sekuntum bunga tulip merah jambu yang baru mula berkembang sedang direnungnya. Keasyikan menguasai perasaan. Fikiranya melayang ke satu bandar kecil di utara Scotland. Saint Andrews! ....... sekuntum tulip merah jambu mengingatkan dia kepada seseorang. Tempat jatuh lagi dikenang. Inikan pula tempat berkasih.
Alunan telefon bimbit membawanya balik dari St. Anderws ke bumi yang sedang dipijak ketika itu..... pekarangan sebuah hotel di Edinburg. Astagfirullah! Dia mohon keampunan kerana terlalai sebegitu rupa. Setelah bercakap sepatah dua dalam telefon, dia pun beredar ke bahagian hadapan hotel dan menyertai Encik Mustaffa dan Puan Salamah Lesley yang baru tiba dari London dengan sebuah kereta Rovers 75 jenis eksekutif .
Kereta Rover 75 meningggalkan perkarangan hotel menuju ke pusat bandaraya. Mereka bertiga hanya ada petang itu sahaja untuk membeli buah tangan. Esok pagi mereka ada tugas hingga ke tengahari. Selepas makan tengahari mereka akan berlepas ke London.
"Assalamualikum, ya habibati."
"Abi! Waalaikum salam. Abi kat mana ni, apa khabar?"
"Walid baik, sihat, alhamdulliah. Sekarang ni Walid berada di Edinburgh. Habibati di sana tu macam mana?"
"Gembira sangat Tiqah dapat panggilan daripada abi malam ni. Tiqah kat sini, semuanya berjalan baik, abi, alhamdulillah. Cuma Tiqah rasa rindu pada abi. Ingin sangat-sangat nak jumpa abi."
"Hari Ahad ini Walid sampai di Kulalu Lumpur, insya-Allah. Walid pun rindu pada habibati."
"Abi buat apa di Edinburgh tu?"
"Ada business negotiation dua hari di Glasgow. Tengah hari tadi baru sampai di Edinburgh. Sekarang ni ada dalam kedai, shopping buah tangan sikit. Telefon ini pun nak tanya habibati, kalau habibati nak pesan apa-apa."
"Abi seorang aje ke, dalam kedai tu, atau ada orang lain?"
"Dengan aunti Salamah Lesley dan uncle Mustaffa."
"Terima kasih abi. Sekejap lagi Tiqah telefon aunti Salamah."
"Sama-sama."
"Abi jaga kesihatan, ya. Assalamualaikum abi"
"Waalaikum salam." Hubungan diputuskan. Mata Sheikh Hamdani mencari Puan Salamah Lesley.
Apabila Puan Salamah Lesley meletakkan telefon bimbitnya di telinga, Sheikh Hamdani tahu yang panggilan itu adalah daripada anak kesayangannya. Lantas Puan Salamah Lesley memilih sesuatu yang kemungkinannya pesanan Nur Atiqah.
Sementara menunggu Puan Salamah Lesley dan Encik Mustaffa selesai membeli, Sheikh Hamdani berdiri di luar. Orang-orang yang lalu-lalang di kaki lima deretan kedai-kedai, sedikit pun tidak menghalangnya menikmati keindahan bandaraya Edinburgh dari luar tempat dia berada. Deretan kedai-kedai itu berada di tapak yang tinggi. Di bawah kelihatan pengunjung-pengunjung yang berehat atau berekreasi, mengambil peluang kehadiran matahari yang cahayanya tidak dilindungi oleh awan atau guguran salji. Jauh di seberang, di atas bukit yang agak tinggi, kelihatan tersergam Edinburgh Castle. Setiap kali dia sampai ke ibu negeri Scotland itu, dia tidak pernah lupa untuk menatap castle itu.
"There you are!" suara Salamah Lesley mengejutkan Sheikh Hamdani. Dia berpaling menghadap Puan Salamah Lesley dan Encik Mustaffa yang berdiri hanya satu meter daripadanya. Masing-masing mereka membawa beberapa shopping beg.
"Dah habis?"
"Dah." Senyum lebar Puan Salamah Lesley ketika dia menjawab itu. "Abang!" Sambungnya. "Daisy dah balik dari bercuti di Australia. Tadi dia telefon nak jumpa saya. Bila saya kata saya berada di Edinburgh bersama-sama Abang Sheikh, dia terus kirim salam pada Abang Sheikh."
"Waalaikum salam. Daisy apa khabar?"
"Baik. Dia balik nak sambut hari jadi di London. Saya dah belikan dia hadiah. Saya beli dua. Kalau abang nak beri hadiah pada dia ambillah satu." Puan Salamah tersenyum penuh makna apabila selesai dia bertutur.
"Terima kasih. Tolong uruskan." Selamba Sheikh Hamdani membalas, wajah tanpa menunjukkan sebarang reaksi.
"Boleh.... Tapi abang kena tanda tangan kad harijadinya. Kalau boleh berilah kata-kata yang memberangsangkan." Senyum lebar lagi Puan Salamah Lesley, lebih galak dari sebelumnya.
"Salamah tuliskan, tak boleh?"
"Hari istimewa macam ni, kenalah tulisan yang ada personal touch. Sesuatu yang bermakna pada penulis dan kepada orang yang ditujukan."
"Seperti......"
"Macam nasihat dia pakai tudung ke, jangan tertinggal dengar ceramah Abang Sheikh ke... Apa-apalah, asalkan dia berubah kepada kebaikan."
"Okey. Nanti sampai di hotel, bagi kad tu pada abang."
"Macam tu la abang." Mereka, Puan Salamah Lesley, Encik Mustafa dan Sheikh Hamdani, semuanya tersenyum. Tetapi senyuman Sheikh Hamdani sangat nipis, senipis kertas pencuci kanta.
DATIN AMEERAH menyemak senarai nama pelajar-peajar yang telah memohon untuk menjalankan projek tahun akhir di bawah seliaannya tahun hadapan. Ada sepuluh orang. Dalam sepuluh orang itu dia pasti akan memilih satu nama ini, Hessa Tasnim Atifa binti Bokhari. Tempat-tempat yang lain akan diisi oleh empat daripada sembilan pelajar lain yang ada dalam senarai nama itu.
Semua pensyarah mahu menyelia pelajar yang purata nilai gred komulatif yang tinggi. Semua penyarah mahu meyelia pelajar yang menunjukkan minat dalam kursus-kursus yang dia mengajar. Semua pensyarah mahu menyelia pelajar yang mereka kenal, yang selalu datang untuk bertanya dan berbincang. Semua penysarah suka menyelia pelajar-pelajar yang berbudi bahasa dan hormat gurunya, apatah lagi kalau mereka itu pelajar-pelajar jurusan Pengajian Islam. Memang pelajar-pelajar jurusan ini semestinya mempunyai budi bahasa yang baik, kalaupun tak terpuji. Di mata masyarakat mereka itu adalah lambang keperibadian Islam.
Hessa Tasnim Atifa binti Bokhari memiliki semua itu. Datin Ameerah kenal dengan pelajar itu. Bukan kenal sahaja, tetapi suka. Bahkan dia sendiri yang memujuk agar Hessa menjalankan projek tahun akhir itu di bawah seliaannya. Tanpa berfikir panjang Hessa terus setuju. Pelajar mana tak suka pensyarah yang ramah, suka menolong, mudah didekati dan banyak ilmu dan pengalaman? Pada Hessa ciri-ciri itu ada pada Datin Ameerah.
Senarai sudah siap, Datin Ameerah membuka email. Dia menaip lima nama yang dipilihnya dan menghantarnya kepada Ketua Jabatan untuk tindakan selanjutnya.
“Habis peperiksaan akhir nanti jumpa saya, ya Hessa,” pesan Datin Ameerah ketika mereka berjumpa pada kali terakhir sebelum musim peperiksaan bermula.
“Insya Allah,” jawab Hessa Tasnim Atifa sambil menggangguk.
“Nanti kita bincangkan sikit tentang tajuk projek yang Hessa pilih tu. Saya nak bagi senarai rujukan utama yang Hessa boleh baca masa cuti panjang nanti.”
“Datin.... Saya tengah tunggu jawapan buat latihan industri dari syarikat penerbitan buku kat Shah Alam tu. Kalau berjaya seminggu sajalah saya balik Kedah.”
“Kan masing-masing dah dapat tempat?”
“Dah ... tapi tukar suka sama suka dengan kawan. Saya dapat Kuantan, dia dapat Shah Alam.”
“Okey. Apa-apa hal telefon dulu sebelum datang. Mana tau saya tak ada di pejabat.”
“Okey. Terima kasih Datin. Terima kasih banyak-banyak. Nanti sebelum balik saya datang jumpa. Saya pergi dulu, ya Datin. Doakan kejayaan saya. Assalamualaikum.”
Datin Ameerah mengangguk. “Waalaikum salam. Saya doakan kejayaan Hessa.” Saya solat hajat untuk kecemerlagan Hessa.” Dia terus memerhati gerak-geri pelajar itu semasa meninggalkan biliknya. Betuah ayah dan ibunya kerana ada anak yang berbudi bahasa, bijak dan rajin. Bukan senang nak cari anak muda yang macam ini sekarang. Betuah orang yang dapat menyelia pelajar seperti ini. Dia senyum sendirian, mudah-mudahan dia sendirilah penysyarah itu. Tangannya mencapai kertas-kertas kerja yang hendak dibacanya.
Posted at 11:42 am by ismad