BAB TUJUH -2
KERETA MERCEDES Benz C200 sudah meninggalkan rumah bungalo kepunyaan keluarga Dato' Shafie di Saujana Impian. Fatin Nabihah menoleh ke sebelah kanan melirik pemandu.
"Apa tujuan Abang Fai beria-ia sangat nak hantar Fatin ni?"
"Sayangkan adik. Mana tau ada apa-apa muslihat yang tersorok. Maklumlah, seorang perempuan muda duduk seorang diri di dalam rumah besar. Hmmm...."
"Tak ada muslihatnya, Abang Fai. Bukan Cik Nur Atiqah yang suruh Fatin temankan dia, tapi Fatin sendiri yang selalu tawarkan diri. Tak baik, tau, Abang Fai curiga yang tak ada asas pada seseorang muslimah."
Setelah sunyi beberapa ketika, Faisal mengubah tajuk perbualan. "Macam mana bisnes syarikat. Bagus ke prestasinya?"
"Belum tahu sangat lagi tentang aktiviti syarikat. Baru nak masuk empat bulan kerja. Lagi pun Fatin cuma jaga bahagian computer security sahaja."
"Syarikat tu apa core business dia?"
Fatin memandang pada Abangnya. "Kenapa nak tau?"
"Manalah tau kalau boleh buat usaha sama atau......"
"Pesaing..... Bukan macam tu ke, Abang Fai?"
"Sekarang ni pun persaingan dah sengit, kalau masuk lagi syarikat baru, lagi teruklah syarikat kita."
"Syarikat abang, bukan syarikat kita."
"Cepatnya berubah cik adik! Baru masuk empat bulan tinggalkan syarikat keluarga, dah tak mengaku syarikat keluarga sendiri."
"Abang Fai, syarikat ni syarikat bumiputra. Abang Fai tak patut cakap macam tu. Lagi pun Cik Nur Atiqah itu memang baik orangnya. Kalau nak kenal, sampai rumah dia nanti, masuklah dulu sebelum balik."
"Memang pun abang nak masuk, tapi abang bukan nak tengok dia .... nak tengok kalau-kalau ada yang mencurigakan." Selepas beberapa saat berhenti, Faisal menyambung, mengulangai kata-katanya tadi, "maklumlah .... duduk bersendirian dalam sebuah rumah besar."
"Abang! Abang tak boleh kata macam tu. Kalau Abang Fai tengok dia nanti, abang akan lihat sendiri keikhlasan yang ada pada wajahnya."
"Okey. Abang akan pastikan."
NUR ATIQAH MENANTI kedatangan Fatin Nabihah di ruang tamu. Telinganya dipasang pada bunyi deringan telefon dan bunyi ting-tong loceng pintu pagar. Bila-bila masa sahaja salah satu antara dua itu akan berbunyi. Perasaan gembira mempunyai teman sepanjang hujung minggu, tidak dapat disembunyikan. Ibu Tini pun sudah menegur dia tentang itu sejak balik dari kerja petang tadi. Siapa yang tak gembira kalau hujung minggu ada teman yang badannya ada di hadapan mata? Mana nak sama hujung minggu ni dengan hujung minggu yang sudah-sudah? Berbicara melalui telefon atau teleconferencing dengan ayah dan kawan-kawan, tak akan rasa seronok macam malam ni. Biasanya suara aje dekat, tapi badan ada di Jeddah.
Ya, hujung minggu ini seronok. Insya Alah seronok macam masa Khairun Nisa' datang dulu. Teringat juga dia teatang itu.
Alunan tune telefon bimbit mengejutkan Nur Atiqah. Cepat-cepat dia menekan butang "on"
"Assalamualikum, Nur Atiqah. Saya insya Allah sampai masa dalam sepuluh minit lagi."
"Waalaikum salam, bila sampai nanti, tekan loceng di pintu pagar. Ana beritahu sekuriti suruh mereka benarkan Fatin masuk.."
"Baik Nur Atiqah. Hmmm... Nur Atiqah! Boleh abang saya masuk sama?"
"Abang tu seorang diri ke, atau dengan isteri?"
"Abang saya masih bujang." Hansome pulak tu. Mata Fatin Nabihah melirik Faisal yang buat-buat tak dengar. Konon memberikan perhatian penuh pada jalan di hadapan.
"Sebentar boleh." Lambat sedikit jawapan itu dituturkan.
"Terima kasih." Fatin mematikan telefon bimbit, kemudian menoleh ke arah abangnya. "Boleh masuk tapi sekejap. Kalau Abang Fai nak tau, bos Fatin tu, pemalu orangnya."
Faisal seakan tidak memberi sebarang reaksi, tetapi di dalam hatinya sudah terbentuk pelbagai persoalan. Duduk rumah besar... seorang diri..... muda dan cantik ..... CEO sebuah syarikat antarabangasa....... Apa rahsia yang tersimpan di dalam diri Nur Atiqah ini. Mistri!
Seorang pembantu rumah sedia menungu di luar pintu utama. Apabila Fatin Nabihah dan Faisal keluar dari kereta mereka, dia menjemput mereka masuk ke dalam rumah dan mempersilakan mereka duduk di atas sofa di ruang tamu. Pembantu rumah menyambut buah tangan dan membawanya ke ruang tamu.
"Cantiknya rumah ni. Set kursi, permaidani dan alat-alat perhiasan rumah buat Abang Fai rasa macam berada di Timur Tengah." Faisal melihat sekeliling dan menikmati kecantikan ruang itu.
"Memang. Cantik betul. Tapi, tuan punya rumah ini lagi cantik, Abang Fai."
Belum sempat Faisal menyambut perkataan itu, Nur Atiqah turun dari tingkat atas melalui tangga di tengah-tengah ruang. Ketika melepasi anak tangga terakhir, dia menundukkan matanya dan mengucapkan salam kepada kedua-dua tetamu.
Nur Atiqah dan Fatin Nabihah berpelukan dan bersentuhan pipi. Setelah pelukan dileraikan, Nur Atiqah memberi isyarat hormat kepada Faisal. Nasib baik sempat Faisal melarikan matanya. Kalau kena "tangkap" memerhatikan semua perlakuan tuan rumah ketika berpelukan dengan adiknya tadi, kan malu!
Anak teruna yang kacak itu bangun untuk membalas salam hormat pada tuan rumah. Setelah ketiga mereka duduk, Fatin Nabihah meperkenalkan lebih lanjut tentang abangnya itu. Nur Atiqah dan Faisal bersoal jawab beberapa kali sebelum Nur Atiqah dan Fatin Nabihah berbual tentang perkara lain. Di kesempatan itu Faisal memerhati gadis yang baru dikenalinya itu dengan ekor mata, telinga dan hati.
Dalam setengah jam berada di rumah itu, sudah tiba masanya untuk Faisal meminta diri. Dia terkesan dengan pemandangan di dalam ruang tamu rumah itu. Itulah pengalaman pertamanya berada di rumah yang bercirikan Timur Tengah. Sebenarnya, dia lebih terkesan kepada tuannya berbanding dengan rumah itu. Sungguh berbeza dengan apa yang disangkanya selama ini. Sebentar bertemu dia sudah kagum dengan tingkah laku orang yang disangkanya mempunyai muslihat sepanjang perjalanan tadi.
"Abang rasa bos Fatin tu memang baik orangnya, tapi sayang......," ujar Faisal semasa dia hendak memasuki kereta. Dia berhenti sekerat ayat untuk mengundang pertanyaan dari adiknya.
"Sayang? Sayang pasal apa? Apa kurangnya dia, Abang Fai?"
"Dia pakai purdah! Jadi Abang tak dapat membuktikan betul atau tidak kata Fatin yang dia tu lebih cantik daripada rumahnya." Faisal ketawa sebaik sahaja ayat yang disebutkannya itu lengkap.
"Tadi kata curiga, tapi sekarang nak tengok pulak rupa orangnya. Tu la Abang Fai, sebelum tuduh orang, kena kaji dulu."
"Abang rasa aje dia baik. Lepas tengok muka dia, baru boleh buat keputusan yang lebih yakin."
"Yang elok tu susah nak dapat, Abang Fai. Hmmm... Abang Fai! Fatin nak masuk ni. Bawa kereta tu elok-elok, ya. Jangan laju-laju sangat."
"Okey lah cik adik sayang. Jaga diri baik-baik. Tengok-tengok kut ada peluang bisnes."
"Dahlah Abang Fai. Kalau nak cakap pasal bisnes, datang ke pejabat lagi banyak peluang."
Selepas berbalas ucapan salam, Faisal memandu kereta Mercedes Benz C200 meninggalkan perkarangan rumah bungalo Nur Atiqah. Sepanjang perjalanan itu dia tidak dapat mengelak daripada memikirkan tentang mistri yang ada pada Nur Atiqah. Dia berazam untuk membongkar mistri itu...... Nur Mistri! Hah! Faisal tergelak sendirian.
"FATIN DAH makan malam?" Soal Nur Atiqah setelah tetamunya itu kembali di ruang tamu dan duduk di sofa.
"Saya dah makan di rumah dengan keluarga sebelum solat maghrib tadi. Kalau Nur Atiqah nak makan, silakanlah."
"Ana pun dah makan sebelum masuk waktu maghrib juga. Kalau makan awal, mudah bangun malam. Bentuk badan pun dapat dijaga, insya-Allah."
Dalam setengah jam mereka berada di ruang tamu itu, banyak perkara tentang tempat-tempat peranginan di dalam dan luar negara dibincangkan. Pada tempat-tempat tertentu, Nur Atiqah tidak lupa menyelitkan pengajaran-pengajaran agama di dalam perbualan. Ilmu mesti di sampaikan. Tetapi menyampaikan ilmu mesti dengan hikmah atau cara yang tertentu. Kalau tak kena gaya, orang akan tersinggung. Ada yang sampai bermasam muka. Itulah petua-petua yang dipetiknya dari guru-gurunya. Sebolehnya dia mengamalkan petua-petua itu. Ada juga guru-gurunya yang beritahu, menegur dan menyampaikan sesuatu yang benar itu wajib dilakukan. Ada guru yang menceritakan tentang seorang Cina yang masuk Islam kemudian jadi pendakwah. Guru itu cerita, satu hari pendakwah itu bersyarah dengan lantang. Dia kata dia tinggal di kawasan perumahan yang ramai orang Melayu. Katanya tak ada seorangpun jiran-jiran dia yang beritahu dia tentang Islam. Dia masuk Islam kerana kesedaran dia sendiri setelah ibubapanya meninggal. Dia sangat kesal kerana ibubapanya meninggal tanpa iman. Dalam syarahan dia, dia beritahu yang jiran-jirannya nanti akan dakwa di akhirat kerana tidak menyampaikan Islam kepada ibubapanya.
"Sampai macam tu?" Soal Fatin Nabih terperanjat apabila hal dakwah mendakwan itu diceritakan padanya.
"Hidup bukan sesuatu yang mudah. Ada tanggungjawab. Allah ada hak atas kita. Semua orang yang ada kaitan dengan kita, ada hak atas kita."
Fatin Nabihah rasa seronok berbual secara tidak formal begitu dengan bosnya. Nur Atiqah begitu ramah, melayannya sebagai kawan, bukan sebagai anak buah syarikat. Bosnya berpegang pada ajaran agama. Dari gerak geri dan tutur kata dan nasihatnya mencerminkan peribadi lihur yang empunya diri. Tidak ada syak, semua yang dipamerkannya semasa Khairun Nisa' ada dulu adalah asli, tidak dibuat-buat kerana ada orang lain bersama-sama. Syukur kerana dapat berkawan dengan orang yang baik dan berilmu.
Nur Atiqah menilik jam di dinding. Fatin merenung jam itu lebih dari keperlaun untuk mengetahui masa. Tidak syak lagi jam itu diperbuat di timur tengah.
"Ayah ana beli di Turki," beritahu Nur Atiqah tanpa ditanya. Kemungkinan besar itulah fakta itulah yang hendak diketahui oleh Fatin.
"Cantik dan unik." Itu sahaja yang diucapkan oleh Fatin Nabihah.
"Itu aje?"
"Hmmm...pusingan terbalik, anti-clockwise!"
"Kalau Fatin nak tau, itulah sepatutnya pusingan jam. Pusingan semula jadi alam, bumi, dan semua planet. Hinggakan black hole, ribut taufan pun berpusing begitu. Kita tawaf di Baitullah pun macam itu."
"Tapi kenapa jam dibuat belawanan dengan putaran semula jadi alam?"
"Ada gulungan manusia yang sentiasa akur kepada bisikan syaitan. Itu sahaja alasannya."
"Mungkin ada lagi satu sebab."
"Apa dia?"
"Nak suruh masa berjalan lambat kut. Kononnya nak lambatkan datangnya hari qiamat." Mereka berdua ketawa. Tak sangka gadis otak komputer pun pandai buat lawak!
"Tak terfikir pula tentang tu. Mungkin itulah tujuan sebenar mereka menterbalikkan arah pusingan jam tu. Hmmm... Mari kita naik ke tingkat atas. Ana nak tunjukkan bilik tidur Fatin."
Mereka beredar dari ruang tamu dan memanjat tangga yang berlantai parque licin berkilat. Sampai di tingkat atas Nur Atiqah terus membuka pintu sebuah bilik dan masuk ke dalamnya. Fatin Nabihah mengikuti di belakang. Selepas menunjukkan apa yang perlu, Nur Atiqah memohon diri untuk masuk ke biliknya.
Lima belas minit Fatin Nabihah duduk terpegun di birai katil. Matanya asyik memerhati satu persatu kelengkapan perabut di dalam bilik itu, sungguh cantik dan eksklusif! Tidak puas dengan itu, dia keluar bilik dan duduk di sofa yang diletakkan di ruang keluarga di tingkat atas. Di situ dia terpesona pula dengan kecantikan perabut dan permaidani yang mengisi ruang itu. Dinding pula disalut dengan wallpaper yang cantik, yang sudah tentu mahal harganya.
Dalam dia menikmati keindahan ruang itu, dia tertarik dengan suara orang perempuan yang sedang membaca Al-Quran. Dia berjalan ke arah datangnya suara itu. Suara itu keluar dari dalam bilik tidur Nur Atiqah. Suara itu suara Nur Atiqah! Fatin Nabihah bertapak di hadapan pintu bilik itu sehinggalah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran itu selesai. Dia melangkah ke arah biliknya dalam keadaan kagum dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Subhanallah.
Posted at 07:42 am by ismad