BAB TUJUH
UNTUK MAKAN TENGAHARI Nur Atiqah ada rutinnya sendiri. Pada awal dia berada di Malaysia ini, dia hanya makan di dalam sebuah panteri kecil di sebelah bilik CEO. Pagi-pagi lagi Ibu Tini akan menyediakan makanan untuknya sebagai bekalan. Ringan sahaja, ala Arab. Hari Isnin atau khamis dia berpuasa sunat. Kadang-kadang dia berpuasa pada kedua-dua hari itu. Kalau ayahnya ada, dia mengikut ayahnya makan tengahari di beberapa restoran di Putrajaya dan Cyberjaya, termasuk di hotel yang berdekatan.
Tiga bulan kemudian, rutin itu sudah berubah sedikit. Sehari atau dua hari dalam seminggu dia akan makan di restoran bersama-sama dengan anak buahnya. Doktor Aimi Najwa, Fatin Nabihah, Wardah dan Ainul Wafa, dua, tiga atau empat orang akan menemaninya. Tak pernah pergi berduan sahaja. Kalau ramai-ramai makan bersama, perkara harian dan kerja sahaja yang dibincangkan. Hal peribadi, tak pernah. Kalau ada pun, jarang-jarang atau sikit-sikit sahaja. Nur Atiqah lebih suka dengan keadaan seperti itu.
Tetapi selepas peristiwa Fatin berkunjung ke rumahnya tempoh hari, rutin itu bertukar rupa. Dia sudah boleh keluar makan tengahari berduaan dengan Fatin Nabihah. Mungkin dia boleh membuka sedikit cerita peribadinya kepada orang lain.
“Cik Nur Atiqah selalu ke makan kat sini?”
“Kadang-kadang aje. Tapi kalau ayah ana datang, mesti dia ajak makan tengahari kat restoran ni.”
“Hmmm... Cik Nur Atiqah, boleh tak kalau saya minta Cik Nur Atiqah panggil saya Fatin aje, tak payah guna Cik.”
Nur Atiqah menatap wajah anak buah yang berada di depannya. Memang itulah sepatutnya yang dia lakukan. Penggunaan ‘Cik’ itu memberi erti ada jarak di antara mereka berdua. Sedangkan dalam beberapa minggu ini keinginan untuk membentuk persahabatan yang lebih rapat pun sudah berputik.
“Luar pejabat ana panggil Fatin, dalam pejabat macam biasa. Fatin pun panggil ana macam tu juga. Boleh?”
“Pucuk dicita ulam mendatang. Terima kasih, Cik Nur Atiqah. Saya rasa bertuah dapat berdamping dengan seseorang yang tinggi keperibadian dan bersemangat waja.” Ada iras pula tu! Kalau orang nampak berjalan berdua, makan berdua, mesti orang kata adik beradik. Senyuman leber diberi.
“Nur Atiqah, tak ada Ciknya, ya Fatin.” Senyuman leber dibalas dengan yang lebih lebar, manis pula tu.
“Ooo...Okey, maaf. Terlupa.” Fatin Nabihah tersipu-sipu sedikit. Mana taknya, kena jerat yang dipasang sendiri.
Nur Atiqah tersenyum melihat gelagat Fatin Nabihah.
Fatin Nabihah mengangkat gelas air, lalu birai gelas itu di pakir di bibir. Bibir itu menyisip air sedikit-sedikit, supaya lebih lama matanya terpacak pada wajah di hadapan. Itulah pertama kali dia melihat Nur Atiqah senyum lebar ketika berhadapan dengannya. Dalam kemesraan, tak sedar yang pemerhatian semakin terperinci. Oooo... Ada lesung pipit pada dua-dua belah pipi rupanya. Yang menarik, dia juga ada lesung pipit seperti itu, sebelah kiri lebih dalam dari sebelah kanan.
“Apa Fatin tengok ana macam tu?” Macam singa tengah intai mangsa aje.
“Tak ada apa. Cuma nak tanya, hujung minggu ni, Nur Atiqah dah ada rancangan ke? Maksudnya, ada nak pergi mana-mana?”
“Belum fikir lagi.” Sambil menjawab, wajah yang bertanya ditatap lagi. Pasti ada sesuatu yang menarik perhatian. Apa dia? Aha! Anak mata yang mengecil tadi dah kembali macam biasa. Pandai aleh tajuk, ya. Tapi tak mengapa. Biarlah dia tak tahu yang ana tahu dia tak cakap betul.
“Kalau tak ada apa-apa, saya nak ajak pergi bercuti kat Langkawi atau pantai timur. Boleh tenangkan fikiran selepas satu minggu kerja keras di pejabat.”
“Rasa macam bagus cadangan tu. Teringin juga nak menjelajah negeri ni. Tapi ana ada teleconfrencing dengan syarikat-syarikat di London dan Jeddah pagi Sabtu.”
Kedua-dua mereka menumpukan kepada makanan untuk seketika, sambil otak ligat memikirkan sesuatu.
“Apa kata Fatin jadi tetamu ana hujung minggu ni?”
“Jadi tetamu untuk hujung minggu! Terima kasih Nur Atiqah.”
“Sama-sama. Boleh ana hadir teleconferencing. Dalam masa yang sama kita boleh berbual-bual sambil bersantai di tepi kolam mandi.”
“Kalau Nur Atiqah nak saya datang Jumaat malam, saya datang lepas balik kerja. Kalau Nur Atiqah nak saya datang pagi Sabtu, saya datang pagi Sabtu. Saya ikut saja yang mana Nur Atiqah rasa paling selesa.”
“Fatin tak perlu datang sendiri. Pemandu ana akan jemput Fatin dari rumah. Tetapi sebelum itu Fatin mesti dapat persetujuan abah dan umi Fatin dulu.”
“Insya-Allah mereka setuju.”
Rancangan hujung minggu sudah dipersetujui. Mereka terus berbual sehingga selesai makan tengahari, dan kemudian kembali ke pejabat. Usai solat zohor Nur Atiqah duduk berehat di kerusi CEO, memejam mata untuk beberap minit seperti yang dilakukannya setiap hari. Tapi kali ini, mata yang ditutup itu memberi ruang kapada otaknya berfikir; berfikir tentang peristiwa dengan Fatin Nabihah semasa makan tengahari tadi. Rasa menyesal pula gunakan “ilmu anak mata” itu pada Fatin. Kan elok tak ambil tau yang Fatin cakap betul atau tak cakap betul? Tak payah nak fikir-fikir. Tersalah tafsir bedosa. Astagfirullah. Pada anak buah yang seorang ini, ana tak nak lagi guna “ilmu tafsir iris” tu. Biarlah dia tak tahu yang ana pun tak tahu. Sama ada dia cakap betul atau tidak, ana tak nak ambil tahu. Ana hanya mahu yang Fatin tu kawan ana, kawan yang boleh bemesra dan berjenaka macam tadi. Kawan yang ana rasa macam adik sendiri. Full stop.
Posted at 05:06 pm by ismad