Bab 6 (versi 8)
"ASSALAMUALAIKUM."
"Waalaikum salam. Masuklah."
"Apa khabar Cik Nur Atiqah?"
"Baik Alhamdulillah. Cik Fatin, ni ana kenalkan kawan ana Cik Khairun Nisa' dari Jeddah. Keluarga Khairun Nisa' berasal dari Patani."
"Apa khabar Cik Khairun Nisa'?"
"Khabar baik. Alhamdulillah. Selamat berkenalan."
Selesai gadis berdua itu bersentuhan pipi, Nur Atiqah memperkenalkan pula perempuan yang berumur dalam lingkungan lima puluhan kepada Fatin Nabihah. "Yang ni Ibu Tini, orang yang bela ana sejak kecil."
Setelah berkenalan, bersalaman dan berpelukan mereka beredar dari foyer ke sofa di ruang tamu. Di situ mereka mengenalkan diri masing-masing dengan lebih lanjut. Khairunnisa peramah orangnya, pandai bercerita. Semasa makan tengaharipun dia bercerita lagi. Yang menarik perhatian Fatin Nabihah ialah cerita tentang Nur Atiqah, dari kecil hingga dewasa. Semakin mendengar kisah itu semakin dia terasa perlunya dia berdamping dengan bosnya itu.
Di ruang tamu Fatin Nabihah menilik jam di tangan. Sudah lebih dua jam dia berada di rumah itu. Sudah sampai masanya untuk nereka memulakan aktiviti yang telah dirancangkan.
"Makan sudah, solat zohor pun sudah. Cik Nur Atiqah, jadi ke Cik Nur Atiqah nak ajak Cik Khairun Nisa' melawat Bandaraya Kualau Lumpur?" Fatin membuka mulut.
"Jadi. Ana tunggu pemandu datang. Bila dia sampai, kita boleh pergi."
Lima belas minit kemudian, mereka sudah berada di lebuhraya menuju ke Kuala Lumpur. Khairun Nisa' masih mahu bercerita. Tetapi masih ada maklumat yang belum dijelaskan. Fatin ingin tahu.
"Kenapa dua hari sahaja di Kuala Lumpur ni? Tak dapatlah saya tunjukkan tempat-tempat menarik yang jauh sikit pada Kuala Lumpur ni." Fatin Nabihah menoleh ke sisi, mata menghadap Khairun Nisa'.
"Ini pun nasib baik ayah ana bagi datang Kuala Lumpur. Kalau tidak, dari Patani tu, terus balik ke Jeddah melalui Bangkok. Lagipun ana tak dapat cuti tambahan, terpaksa balik."
"Oh ye ke? Habis tu, kenapa melencong juga ke Kuala Lumpur ni?"
"Sebab terlalu rindu pada kawan yang dah lama tak jumpa ni, ana gagahkan juga datang. Cik Fatin bawa kami berjalan-jalan ni pun lebih daripada cukup."
Dalam pada mereka bercakap itu, kereta sudah berhenti di depan KLCC. Mereka turun dan berjalan mendekati bagunan Twin Tower.
"Tinggi, dan cantik!" Komen Kharun Nisa' sambil mendongak.
"Dulu Twin Tower ni pernah jadi bangunan yang tertinggi di dunia, tapi tak lama lepas tu, bangunan Taipei 101 pula rampas tahta. Tak lama lagi jangkanya ada bangunan-banguan yang lebih tinggi yang akan dibina di Dubai, Korea, China dan Rusia," ulas Fatin, memberi fakta tentang status pencapaian menara kembar itu.
"Memang bagus dapat gelaran bangunan tertinggi di dunia tu. Tapi kita kena ingat status pencapaian diri kita juga, tinggi ke rendah ke."
Setelah berjaya mendapat perhatian kedua-dua orang teman berjalan-jalan itu, Nur Atiqah menyambung. "Nabi pernah bersabada, salah satu daripada tanda hari qiamat dah dekat ialah manusia berlumba-lumba membina bangunan-bangunan tinggi."
"Terima kasih Cik Nur Atiqah kerana mengingatkan saya."
"Cik Fatin, kita sentiasa sama-sama berpesan-pesan antara satu sama lain ke arah perkara yang baik."
"Betul kata Khairun Nisa' tu. Itulah intisari surah Al-'Asr. 'Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan ber'amal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.' Penting ingat mengingati ni, tapi susah nak buat, sebab takut orang tak suka."
"Tu lah susahnya persepsi masyarakat Melayu dalam berpesan-pesan dan ingat-mengingati ni. Mereka mudah tersinggung. Macamlah aku tak tau! Itu yang selalu saya dengar dibelakang-belakang."
"Kalau susah nak buat dengan orang lain, dapat amalkan sesama ahli keluarga sendiripun dah memadai, Cik Fatin. Sesama kita macam sekarang ni pun boleh. Sesama kita dapat manfaatnya. Betul tak Tiqah?"
Nur Atiqah mengangguk. "Betul."
Dalam pada itu mereka sudah sampai di dalam bangunan. Perbualan terhenti. Masing-masing menumpukan perhatian kepada barang-barang yang ingin dibeli, terutama barang-barang buah tangan untuk Khairun Nisa'.
Dua jam kemudian mereka sudah berada di dalam kereta untuk melawat dan solat 'Asar di Masjid Negara. Kemudian mereka melawat Museum Negara sebelum pulang ke Putrajaya.
"TERINGAT apa tu, Tiqah?"
"Teringat kawan-kawan, bu. Khairun Nisa', Sakeenah, Mesya, Humairah, tentu tak rasa sepi kalau dia orang tu selalu dapat jumpa. Fatin Nabihah yang semalam tu, Tiqah pun rasa suka pada dia."
"Sebelum ni Tiqah tak sebut-sebutpun tantang kawan-kawan."
"Ibu Tini duduklah temankan Tiqah minum. Hmmm..... bila dah jumpa balik Khairun Nisa' tu, bu, teringatlah balik kawan-kawan lain."
"Ambillah cuti balik Jeddah seminggu dua. Boleh lepaskan rindu tu."
"Memang Tiqah tengah fikir tentang tu. Tapi kena bincang dengan abi dululah. Hmmm.... bu! Apa pendapat Ibu Tini tentang Fatin Nabihah tu?"
"Ibu rasa bagus orangnya. Kenapa?"
"Dia selalu perihatin tentang keadaan Tiqah yang tak berapa ada kawan ni. Tiqah pun rasa suka pada dia."
"Dia ada beritahu tentang keluarga dia?"
"Ada. Ayah ada emak pun masih hidup. Ayah dia Dato'. Keluarga mereka pun ada syarikat komputer macam kita."
"Orangnya bagu, keluarganya pun bagus. Eloklah orang macam tu dibuat kawan. Lagi satu, err..." Ucapan terhenti, bimbang juga kalau ilusi sahaja.
"Apa yang satu lagi tu, bu?"
"Tak ada apa, cuma ibu tengok Tiqah dengan Fatin tu ada iras."
"Ye ke, bu? Seorang dari Jeddah seorang dari Kuala Lumpur, mana boleh nak ada iras, bu."
"Ada Tiqah. Tapi tak lah banyak macam kembar."
"Tengok, bu! Kalau ibu teman Tiqah minum, sekejap aje dah siap, bu." Nur Atiqah mengubah tajuk perbualan, tidak mahu membesar-besarkan isu iras itu. Dia melakar senyum segaris sahaja, bimbang kalau dikesan oleh Ibu Tini. Mana tak nak senyum? Puan Salmi pun dah cakap macam tu!
"Dah habis minum tu pergilah berehat. Tenang tenangkan fikiran. Esok dah nak kerja. Sambil tu, ibu boleh picik-picikkan belakang Tiqah."
"Yalah, Ibu Tini." Senyum manis dihadiahkan pada perempuan pengasuh yang baik hati itu. Nur Atiqah bangun dan melangkah ke arah ruang tamu. Hatinya rasa puas, kerana hujung minggu yang akan ditinggalkan telah diisi dengan aktiviti bersama seorang kenalan lama dan seorang kenalan baru. Alhamdulillah, di hari-hari yang mendatang, kewujudannya di tanah kelahiran ayahnya ini akan menjadi lebih bererti. Alhamdulillah. Syukur. Sudah terbiasa dari kecil. Semua kebaikan yang diterima mestilah dikembalikan kepada yang Maha Memberi dan Maha Mengasihani.
Tetapi, rindunya pada Masjidil Haram dan Baitil Atiq...... dan pada umi tidak akan berkurangan sampai bila-bila ......
Dan ..... tidak disedari, air jernih bertakung di kelopak mata. Perlahan dia memanjat tangga. Sampai ke tingkat atas dia berdiri di depan sebuah tingkap. Dilonggarkannya selak dan daun tingkap dibuka luas. Anak langsir disiahnya. Biar alam terbuka luas. Biar hatinya berbisik sepuas-puasnya. Dia menyusun kedua-dua lengan di birai tingkap, jari-jari kanan disusun di atas jari-jari kiri. Direhatkannya dagu di atas jari-jarinya. Dia mendongak ke langit yang biru, mata yang masih berair menerawang sejauh mata memandang .... Allah ada di mana-mana. Ya Allah! Sampaikan salam hamba mu ini pada umi.....
Posted at 07:54 am by ismad